Bab 1 Bahagian 2

Di hadapan kedai makan itu ada sebuah kedai buku yang juga ada menjual surat khabar dan majalah. Aku berjalan menuju ke kedai itu. Ramai orang sedang berkerumun di situ. Ada yang membeli buku dan ada pula yang membeli surat khabar. Tak kurang juga yang sedang berdiri membaca majalah dan memilih majalah dan surat khabar yang disukainya.

Aku sampai di situ, dan mencapai sebuah daripada majalah-majalah yang banyak dipamerkan di situ. Aku membukanya dan membalik selampir demi selampir lagi. Di kulit maja¬lah itu tersenyum seorang gadis, tetapi hanya gambarnya sahaja. Di muka-muka yang lain pula banyak gambar-gambar gadis juga. Ada yang seorang-seorang dan ada juga yang serumpun ramai. Asyik benar aku melihat gambar-gambar itu. Maklum aku orang muda yang bujang pula. Kalau orang muda lain tak tahulah aku, asyik atau tidak melihatkan gambar-gambar begitu. Tetapi aku agak lebih kurang dengan aku juga. Dalam pada itu, entahlah.

Setelah sampai kepada muka akhir majalah yang aku tinjau itu, aku balik ke muka yang pertama dengan hasrat hendak membaca sedikit daripada kandungannya. Majalah itu bertulisan Jawi. Jadi merangkak-rangkaklah aku membacanya. Bukan pula aku tak pernah belajar tulisan Jawi, tetapi aku jarang membaca dan menulis dengan tulisan itu. Jadi tak biasalah. Dengan itu aku naik bosan. Maka aku tutup sahajalah majalah itu dan memerhatikan pula majalah yang lain. Hampir semua majalah dan akhbar yang ada di situ bertulisan Jawi. Yang ada bertulisan Rumi, hanya akhbar dan majalah Inggeris sahaja. Maka dengan itu aku pun mengambil sebuah majalah Inggeris dan langsung membelinya.

Lepas ini ke mana aku hendak pergi? Aku menyoal diriku sendiri setelah keluar dari kedai buku itu. Baru aku teringat di bandar itu ada sebuah panggung wayang baharu yang baru siap dibina. Aku memang sudah tahu di mana panggung itu. Sebelum siap pun aku sudah pergi melihatnya. Berjalanlah aku menuju ke situ.

Aku sampai di panggung wayang itu. Ramai orang di situ. Bukan mainlah aksi masing-masing ketika itu. Baru itulah aku ingat hari itu ada tayangan pagi cerita Melayu, cerita sejarah lama yang masyhur, yang ditunggu oleh setiap orang di daerah kami. Aku pun mencari-cari jalan di tengah orang ramai itu, hendak pergi ke tempat gambar-gambar contoh cerita yang akan ditayangkan. Susah aku hendak sampai ke situ, kerana aku segan hendak minta lalu kepada orang-orang perempuan muda belaka yang berdiri di situ, berkelompok-kelompok. Tetapi aku tidak putus asa. Aku pandang ke sana ke sini mencari luang. Akhirnya dapat juga sampai di tempat itu. Memang hebat gambar yang akan ditayangkan. Aku terpengaruh dengan contoh-contoh gambar itu. Walaupun pada mulanya aku tidak bercadang hendak menonton, aku berpaling juga ke arah tempat membeli tiket. Tak terkiralah ramai orang-orang muda berebut-rebut. Kasihan aku melihatkan gadis-gadis yang ingin juga hendak membeli tiket, tak kuasa berebut dan hanya ber¬diri menantikan peluang. Ada juga hajatku hendak menolong, tetapi apa boleh buat aku tak kenal. Hendak ditegur-tegur takut dimarah. Aku pandang sahajalah.

"Ai, tengok wayang jugakah?" aku dengar suara orang berkata. Aku memandang ke arah datangnya suara itu. Mula¬nya aku agak suara itu ditujukan kepada aku. Tetapi rupanya tidak. Tersenyum seorang pemuda memandang kepada se-orang gadis yang juga mengorak senyum.

"You dah ambil tiket?" aku dengar suara orang muda itu berkata kepada gadis yang sedang tersenyum itu. Orang muda itu berseluar ketat di punggung dan betis. Bajunya besar, fesyen sport. Rambutnya hanya disikat di kiri dan kanan sahaja. Di atasnya melembung dan di hadapan atau di sebelah dahinya ada pula jambul. Aku agak dialah yang mula bercakap tadi.

"Belum," kata gadis itu dengan suara yang manja. "You boleh tolong I tak?" sambungnya lagi. Dia terus juga senyum. Senyum yang boleh menghancurkan hati seorang lelaki.

"Boleh, apa salahnya. Kalau kerana you apa pun I sanggup buat," kata orang muda yang berseluar ketat itu. Sambil itu dia meluru ke tempat membeli tiket dengan pantas dan tidak meminta sebarang wang dari gadis itu. Apalagi orang-orang muda yang lain, yang sedang menanti giliran membeli tiket itu pun memandang kepadanya dengan muka bengis bak harimau garang memandang seekor lembu gemuk. Apa yang hendak mereka buat? Hanya memandang sahaja, kerana orang muda itu nampaknya lebih besar tubuhnya, dan mungkin lebih kuat daripada mereka itu. Mana-mana yang kena rempuh pun tidak berani berbuat apa-apa. Maka sampailah orang muda yang tidak ada siapa yang berani menentangnya itu ke lubang tingkap yang berjaring itu. Nasib baiklah tidak ada orang yang mahu menentangnya. Kalaulah ada orang yang berani menentangnya, sudah tentu berlaku pergaduhan pada masa itu.

Darihal gadis yang tersenyum tadi itu, dia memandang dengan rupanya yang megah kepada rakan lelakinya yang gagah perkasa itu, sambil berpeluk tubuh di tengah-tengah orang ramai. Lama juga aku memerhatikan gadis itu. Rupanya memanglah mengagumkan. Bibirnya rnerah bak delima me-rekah. Rambutnya keriting buatan (kata orang, berkaran) yang dibuat istimewa. Badannya memanglah menarik bentuknya, ditambah pula dengan fesyen baju yang dipakainya hampir membolehkan semua bentuk tubuhnya dilihat. Dadanya terdedah hampir-hampir nampak dua biji kopeknya. Memanglah menarik minat orang yang memandangnya dan ditambah pula dengan senyumnya yang bermadu dan boleh menghancurkan hati itu.

"You dah beli Jo?" si gadis itu bertanya si muda dengan suara yang manja, setelah orang muda yang aku katakan gagah itu keluar dari tempat membeli tiket.

"Sudah, Rus. Mari kita masuk," kata si lelaki muda sambil mengajak gadis itu masuk ke dalam panggung.

"You dah tahu nama I? Sapa kasi tahu?" tanya si gadis itu, gadis yang dipanggil oleh orang muda itu 'Rus'.

"Manalah pula I tak tahu. Kalau you boleh tahu nama I Jo, tentulah I boleh tahu nama you Rus," kata lelaki muda itu, dengan senyumnya yang penuh berahi. Maka dengan itu si gadis tidaklah dapat berkata apa-apa melainkan menjeling dengan senyumnya yang boleh menyayat hati seorang lelaki yang memandangnya. Kalau hati lelaki lain tidak disayat oleh senyum begitu, aku berani berkata orang itu sudah jadi malaikat. Hatiku memang sudah disayatnya, kerana aku sudah melihat jelinganriya itu, sebab itu aku berani berkata begitu!

Kepalaku memikirkan sesuatu apabila mendengar mereka itu memanggil nama masing-masing. Seorang bernama Jo dan seorang lagi bernama Rus. Ini bukan nama-nama Melayu. Oh, ya. Boleh jadi diambil pangkalnya sahaja. Jadi dengan berbuat demikian bolehlah nama mereka itu menyerupai nama orang-orang Inggeris atau orang putih. Biar aku jelaskan; Jo dari nama Melayu Johari atau Johar. Jadi diambil Jo sahaja. Maka bolehlah menyerupai nama seorang Inggeris Joe Hary atau Iain-lain Joe lagi. Rus, dari nama Melayu Rusnah, Rusmah atau Iain-lain lagi. Jadi diambil Rus sahaja dan bila disebut boleh menyerupai nama Inggeris Rose atau lain-lainnya. Kononnya dengan nama-nama begitu boleh menjadi megah dan orang lain bolehlah menganggap mereka itu macam orang putih, berpelajaran orang putih atau sudah pergi ke negeri orang putih. Oleh itu mereka akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Memanglah tak syak lagi dalam perkara itu, kerana masyarakat memang sudah pun melakukan begitu, memandang tinggi kepada orang-orang putih dan orang-orang yang pandai berbahasa Inggeris. Kerana hendak dipandang tinggi, maka memanglah seseorang itu berusaha betul-betul untuk mendapat taraf itu. Mana-mana yang tidak pandai berbahasa Inggeris, terus maju belajar dan kalau tidak ada upaya belajar bahasa, dengan nama begitu pun sudahlah. Betul, tak betul entahlah. Aku agak, tekaanku ini memangnya betul dan orang lain menyokong pendapatku yang serupa itu.

Walaupun cukup lama aku menanti hendak membeli tiket, akhirnya kudapat juga. Setelah itu aku pun masuklah ke dalam panggung. Tempat duduk hampir semuanya berisi. Oleh kerana tiap-tiap tempat duduk di panggung itu bernombor, maka aku mencarilah tempat duduk yang nombornya serupa dengan nombor yang tertulis di belakang tiket itu. Dapatlah tempat itu. Alah mak, aku kena duduk di sebelah seorang gadis. Ah, ini can baik, kata hatiku. Aku pun tidak lengah lagi duduk di atas tempat duduk yang bertilam lembut itu, maklum tempat istimewa (reserved). Aku, kalau menonton tidak kalah dari orang lain. Bukan dalam perkara itu sahaja, perkara lain pun aku tidak mahu kalah. Memang begitu sudah semula jadi pada diriku. Entah baik entah tidak sikap begitu, tak aku tahu. Hanya terserah kepada ahli adab sahajalah.

Aku duduk berdiam diri sahaja di atas kerusi itu, menantikan tayangan gambar yang dinanti-nanti oleh semua orang yang di dalam rumah besar itu. Sekali-sekala aku mengerling kepada gadis yang di sebelahku itu. Di sebelah yang lain pula seorang Cina yang muda juga, tetapi aku agak dia sudah lama meninggalkan bangku sekolah. Dia lelaki.

"Encik sudikan," aku dengar orang Cina yang di sebelah aku itu berkata dengan bahasa Melayu yang fasih. Aku menoleh kepadanya. Dia menghulurkan sekotak rokok yang masih berisi beberapa batang kepada aku, sambil di mulutnya tercokeng sebatang rokok yang belum berapi. Aku pura-pura menolak pemberiannya itu. Tetapi dia terus juga mempelawa, seperti dia sudah tahu aku seorang penghisap rokok. Memang aku seorang penghisap rokok sejak dari sekolah lagi. Maka aku ambillah sebatang rokok yang diberinya itu. Kami menghisap rokok itu setelah dipasangkan apinya. Berkepul-kepul asap rokok kami menembusi udara.

"Encik bekerja di mana?" tanya orang Cina itu lagi. Aku diam sekejap, kerana aku belum bekerja dan baru berhenti dari sekolah. Mula-mula aku segan hendak menjawab.

"Saya belum bekerja lagi. Baru berhenti sekolah," aku menjawab.

"Apa macam, ada harap boleh pas Cambridge!" dia ber-tanya lagi. Sekali-sekali aku menjeling kepada gadis yang di sebelahku itu. Kami berdua (aku dan gadis) sama-sama menjeling satu sama lain.

"Entahlah. Resultnya belum tahu lagi," aku menjawab. Cambridge ialah peperiksaan menengah tingkatan lima di sekolah Inggeris. Setakat itu kami bertanya dan berjawab.

Aku menjeling lagi kepada gadis yang di sebelahku itu. Dengan tak disangka-sangka gadis itu pun menjeling lagi ke¬pada aku dengan mukanya yang masam. Aku khuatir dia akan marah. Jadi aku selamba (tak peduli) sahajalah sambil meng-habiskan rokok yang aku hisap itu. Aku menghalakan pandanganku ke hadapan sahaja. Tidak berapa ketika lampu yang terang-benderang di panggung itu pun dipadamkan, alamat tayangan akan dimulakan.

Tayangan dimulakan dengan bermacam-macam iklan perdagangan. Setengah daripadanya ditayangkan dengan ikutan nyanyian dan kenyataan yang boleh menarik hati pembeli-pembeli. Ada juga yang ditayangkan dengan gambar-gambar yang tidak bergerak, hanya dengan tulisan yang berwarna-warni. Aku rasa tertarik hati juga dengan iklan-iklan itu. Tetapi apa-bila mendengarkan bahasa Melayu yang digunakan oleh pengiklan-pengiklan, aku sungguh kesal sekali, kerana tidak meng-ikut peraturan bahasa yang betul. Aku masih ingat lagi sepatah dua perkataan yang digunakan itu, umpama: "Kalau tuan punya kepala sakit, tuan makan ini ubat boleh sembuh." Tetapi bolehlah tahan, faham juga orang mendengarnya. Tak kurang juga iklan yang ditayangkan dalam bahasa Inggeris dan Cina.

Saat yang dinantikan oleh semua orang yang di dalam rumah batu besar itu pun tiba, tulisan besar-besar bersinar menyatakan nama cerita yang hendak ditayangkan itu dengan nama-nama pelakon, pengarah, jurugambar dan Iain-lain lagi, perlahan-lahan berlaku kelam pada layar putih itu. Tahu, apa yang kedengaran pada masa itu? Sorak dan siul memecahkan telinga yang mendengar, terutama orang-orang yang tak suka-kan pendengaran yang semacam itu. Seni bunyi mendayu-dayu sambil gambar ditayangkan. Cerita itu dimulakan.

Sambil gambar berjalan di layar putih, seni bunyi tak putus-putus mengikutinya. Memanglah seni bunyi boleh mempengaruhi jiwaku, dan aku agak jiwa semua manusia di alam yang luas ini. Rasa tak puas aku memandang ke tayangan gambar itu, walau sekali-sekala aku benci dengan telatah pelakon-pelakonnya. Aku rasa hairan pula kalau ada babak sedih ada orang yang ketawa dan menjerit-jerit. Aku turut ketawa bila mendengar kata-kata lucu yang dijeritkan itu, walau aku benci dengan perbuatan demikian. Apatah lagi kalau pahlawan muda menghunuskan kerisnya, bagaikan pecah rumah yang banyak peminatnya itu. Dari satu babak ke satu babak berdelat-delat cahaya jentera menukarkan gambarnya di layar putih dan sambil itu jugalah pertukaran dari gelak ketawa dan kemudiannya tempik sorak berlaku. Huruf besar 'TAMAT’ akhirnya menjelma dan hanya kain putih yang aku gelar layar putih itu sahaja yang tinggal. Lampu pun dipasangkan semula.

Aku masih duduk lagi. Serasa tak puas aku menonton itu, walau orang sudah semuanya bangun dari tempat duduk masing-masing. Akhirnya aku pun bangun jugalah. Berhimpit-himpitlah kami berjalan-lahan keluar. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Di kananku gadis yang duduk dekat aku tadi dan di hadapanku ialah Cina yang telah memberi rokok kepada aku itu, iaitu Cina yang pandai benar bercakap Melayu. Kerana orang ramai, maka aku dan gadis itu terpaksa bersentuhan. Apalah yang hendak dikatakan. Diam sahajalah. Kalau dia memasamkan mukanya pun apalah faedahnya. Aku bukan sengaja. Kalau ada satu-satu niat, bukan di situ tempatnya. Kalau ada orang yang menggunakan kesempatan begitu, terpulanglah kepada sikap masing-masing. Begitu sikap aku.

Dengan berjalan perlahan-lahan itu sampailah orang ra¬mai dan juga aku di luar panggung. Ramai orang di luar lagi. Agaknya mereka sedang menantikan pertunjukan yang lain pula. Memang dugaanku tidak salah lagi, kerana ramai orang sedang berkerumun di tempat menjual tiket.

"Eh, Brahim. Bila you datang?" aku dengar suara seorang muda berkata. Suara itu suara seorang lelaki. Belum sempat aku mencari orang yang berkata itu, bahuku sudah dipegang orang. Aku menoleh.

"Oh, Din. Bila engkau balik dari Kuala Lumpur?" aku bertanya. Kawanku itu bersekolah di Kuala Lumpur. Din anak seorang kaya dan memanglah ayahnya mampu membelanjai-nya belajar di sekolah di bandar besar itu. Hal aku, tak usahlah dikaji lagi, dapat belajar di sekolah bandar kecil ini pun sudah beribu rahmat. Aku berasa bernasib baik juga berayahkan seorang yang sangat mementingkan pelajaran anaknya (aku). Kalaulah tidak dengan hati yang tabah, haruslah aku tidak dapat meneruskan pelajaran sampai ke darjah School Certifi¬cate atau Cambridge.

"You dah tengok wayang?" Din bertanya. Aku mengang-gukkan kepalaku sahaja sambil tersenyum. Sambil itu juga aku mengerling ke sebelahku, kepada seorang gadis yang berdiri di situ. Entah mengapa gadis itu tersenyum. Gadis itu bukan yang telah duduk dekatku di dalam panggung tadi. Dengan itu Din memberi aku senyumannya dan berjalan menuju ke pintu di mana ramai orang sedang masuk perlahan-lahan. Bila Din ber¬jalan menuju pintu masuk, gadis yang aku kerling itu masuk juga berjalan dekat di belakangnya. Fahamlah aku akan hal-nya. Aku pun pergilah dari situ untuk mendapatkan angin lain dari angin orang yang ramai itu, kerana aku rasa lenguh dan bosan. Ke mana aku hendak pergi? Aku pun tak tahu, kerana haluan khasku tidak ada. Aku menghala ke bandar semula.

Sedang aku berjalan di tengah duyunan orang yang hen¬dak balik ke rumah masing-masing setelah menonton itu, baharu aku ingat aku belum makan dan perutku lapar. Agak pantas juga aku berjalan itu, banyak orang yang dapat aku pintas. Apabila aku memintas seseorang, orang itu memandang ke¬pada aku, kerana kasut yang aku pakai berbunyi kuat. Me¬manglah kasut itu berbunyi begitu, kerana ada paku di tapak-nya. Bertambah pula aku hentakkan kuat-kuat. Aku sampai di bandar dan masuk di sebuah kedai makan yang dipunyai oleh orang India Islam. Pelayan-pelayannya berpakaian kain pelekat belaka.

"Apa makan encik?" tanya salah seorang India itu.

"Nasi."

Tak lengah lagilah orang India itu menghidangkan nasi dan beberapa jenis gulai dan sayur serta goreng ikan, daging dan udang, menjadikan meja di depan aku itu penuh dengan beraneka lauk. Aku memilih yang boleh memberi selera, dan aku pun makanlah sekehendak hatiku. Pada masa aku makan itu, tidak berapa ramai orang di kedai itu. Agaknya waktu itu sudah bukan waktu makan tengah hari lagi, oleh itu orang sudah tidak ramai lagi mengunjungi kedai-kedai makan. Atau-pun boleh jadi juga kedai itu tidak berapa laris jualannya. Boleh jadi!

Lepas makan aku terfikir pula: Ke mana aku hendak per-gi? Tak tahulah. Aku berjalan di lorong itu juga menuju ke satu arah di mana orang sedang berkerumun.

Aku sampai di tempat orang ramai berkerumun itu. Di tengah mereka ada seorang yang kacak juga rupanya sedang bercakap-cakap. Berpeluh-peluh orang itu nampaknya. Ada seketika, baharulah aku tahu, rupanya orang itu sedang mem¬beri penerangan akan cara-cara penyakit boleh menyerang seseorang dan bagaimana hendak menyembuhkan dan mengelakkannya. Katanya, dengan memakan ubatnyalah segala penyakit boleh sembuh dan tidak akan menyerang lagi. Entah benar, entah tidak, tak tahulah!

"Tuan-tuan sekalian. Tahukah bagaimana halnya keadaan kesihatan di negara kita sekarang? Tahukah tuan-tuan berapa orang doktor yang ada? Dan berapa orangkah daripada me¬reka itu dari bangsa kita sendiri? Biarlah kita sendiri yang menjawabnya. Semua doktor-doktor yang ada ini pun dibawa masuk dari negara lain. Dari bangsa kita sendiri entah berapa puntung sahaja, boleh jadi tak ada langsung. Mengapa? Ya, cuba tengok anak-anak bangsa kita sendiri, kalau mahu pergi belajar tinggi, umpamanya ke universiti, mereka tak mahu belajar jadi doktor. Kononnya kerja seorang doktor itu kotor dan masa belajar lama. Kalau mereka belajar di jurusan lain, umpamanya Arts atau Iain-lain, mereka boleh mendapat pangkat tinggi dengan tidak payah belajar lama-lama, hanya tiga atau empat tahun sahaja. Gajinya pun lumayan, pangkat pun tak kurang juga, hanya dengan usaha yang sedikit sahaja. Kepentingan negara dan orang lain biarlah tinggal begitu sahaja." kata penjual ubat itu memberikan penerangannya yang agak panjang lebar. Itu hanya sebahagian daripada syarahannya yang dapat aku ingat. Yang lain macam-macamlah lagi. Dalam perkara ini aku tidak dapat hendak menyalah dan membenarkannya. Terpulanglah kepada sekalian yang mendengarnya. Boleh jadi juga betul apa yang dikatakannya itu, tetapi entah-lah. Bagi aku bukan hal-hal seumpama itu yang aku hiraukan. Hendak mengawasi diriku sendiri pun tak cekap lagi, usahkan hal yang begitu besar. Entahlah satu hari nanti aku akan mengkaji hal yang seumpama itu, siapalah tahu. Nantilah masanya kalau diizin Tuhan.

Bila sudah sahaja penjual ubat itu memberi penerangan, maka dijualnya ubatnya itu, dibawa ke hadapan setiap orang. Ramai juga orang-orang yang membeli. Aku dan beberapa orang sahaja yang tidak membeli.

Aku tak lama di tempat orang menjual ubat itu, lalu beransur berjalan ke tempat lain. Di bandar itu ada sebuah sungai. Di sebelah petang, ramailah orang di tepi sungai ini. Ada yang mandi di dalam sungai, ada yang bermain perahu dan tak kurang juga yang melihat-lihat sahaja.

Pada saat aku meninjau di tepi sungai itu jam tanganku menunjukkan pukul lima kurang lima atau enam minit. Sudah lama rupanya aku berjalan ke sana ke mari. Matahari sudah mula teduh. Orang mula datang ke tepi tebing sungai itu. Di situ juga ramai orang berjualan; sate, air batu, kacang goreng, buah-buahan dan Iain-lain lagi. Oleh Majlis Bandaran bandar itu disediakan pula meja-meja dan kerusi yang dibuat cantik daripada batu marmar tiruan. Di kerusi dan meja inilah orang lelaki dan perempuan muda makan-makan dan minum-minum, menjamu selera masing-masing. Kadang-kadang sampai larut malam ramai lagi orang di situ. Kalau malam minggu tak usah diceritakanlah lagi, memang tak muat tebing sungai yang berumput cantik itu. Ada yang duduk makan-makan di meja dan tak kurang juga yang duduk bersandar di pangkal pokok-pokok kayu rendang di situ.

Aku berjalan perlahan-lahan sambil memerhatikan orang yang datang ke tepi sungai itu. Petang itu bolehlah aku katakan satu petang yang indah juga, kerana tak pun aku nampak tanda hendak hujan di langit. Tatkala itu baharu aku ingat aku hendak balik ke kampung juga hari itu, walaupun tidak ada satu-satu yang mustahak. Aku pun meninggalkan tempat itu menuju ke perhentian keretapi. Aku berjalan cepat-cepat, kerana khuatir ditinggalkan keretapi petang.

Klik Untuk Baca Bab 1 Bahagian Akhir