Bab 1 Bahagian 1

AKU

'AKU', samalah ertinya dengan perkataan 'saya'. Kadar berlainannya ialah tentang masa dan tempat menggunakannya. 'Aku', kiranya digunakan apabila bercakap dengan seorang yang lebih tua dikatakan tidak baik dan boleh jadi dikatakan juga kurang mempunyai adab. Tetapi, aku memang selalu menggunakan perkataan 'aku' bila bercakap, kerana aku kira begitu lebih mesra. Dengan begitu, tidaklah 'saya' aku tinggalkan begitu sahaja, bila masa dan tempat menghendakinya.

Pada suatu hari, aku bangun pagi-pagi lagi, waktu embun jantan belum pun berapa ketika jatuh berdenting di atap zink (zinc) rumahku, dan ayam jantan sedang riuh berkokok. Bila itik dan ayam bising kerana rebannya belum dibuka, aku sudah berada di rumah semula, mengenakan pakaian yang lebih baharu sedikit. Aku menyikat rambut yang aku licinkan dengan minyak rambut yang bercap bunga dan di bawah gambar bunga itu bertulis demikian: Made in England yang tak kurang juga ramai orang yang mengerti maksud tulisan itu, terutama orang-orang yang berpangkat semuanya tahu. Tetapi aku bukanlah orang yang berpangkat. Semuanya sudah siap, pakaian cantik, kasut fesyen baharu 'Barrats', aku pun turun dari rumah menuju ke perhentian keretapi yang akan membawa aku ke ban¬dar.

Ramai orang sedang menunggu keretapi - lelaki, perempuan, kanak-kanak tua, muda - Melayu, Cina dan India. Berebut-rebut mereka membeli tiket. Setelah agak tidak berapa ramai orang di tempat menjual tiket itu, aku pun pergi ke situ. Tidaklah berapa susah benar aku hendak membeli tiket, tidak seperti orang-orang yang dahulu daripada aku tadi.

Keretapi pun tiba. Berebut-rebut lagi orang yang hendak naik itu, seperti juga masa mereka membeli tiket tadi. Aku memangnya tak kuasa berebut-rebut begitu sebilang masa. Aku berdiri tercegat, memandang kepada mereka itu. Tak kira lelaki perempuan lagi, badan mereka bergeseran satu sama la¬gi. Segan dan malu hilang semuanya. Aku nampak seorang muda lelaki selaku berpeluk dengan seorang gadis masa itu, dan di belakang mereka orang ramai mengasak ke hadapan. Hatiku tertawa kecil. Semuanya sudah naik. Aku dan beberapa orang lain yang tak kuasa berhimpit-himpit tadi pun naik-lah. Setelah naik semuanya, berjalanlah kenderaan itu menuju haluannya.

Aku belum lagi duduk waktu keretapi mula bergerak. Aku perhatikan tempat duduk kosong, tak ada nampaknya. Aku berjalan mencari, nampaklah tempat kosong di sebelah gadis itu. Aku kenal dengannya, tetapi tak biasa pula. Aku per¬hatikan lagi ke arah lain, tak ada. Aku pandang lagi ke tempat duduk kosong di sebelah gadis itu. Tak pun dia memandang kepada aku. Aku perhatikan lagi. Tak semena-mena gadis itu memandang kepada aku. Maka serentak itu juga mata kami bertemu. Selepas itu mata gadis itu memandang-mandang kepada tempat kosong di sebelahnya itu. Aku faham maksudnya, menyuruh aku duduk di tempat kosong itu. Aku bertanya diriku sendiri, nanti kalau aku duduk dekat gadis itu, apa pula kata orang? Ah, aku lelaki. Aku sanggup berdiri. Maka aku pun buat tak peduli sahajalah dan terus juga berdiri bersama ramai lagi orang yang senasib dengan aku.

Keretapi berjalan agak cepat. Maka kami di dalamnya terhuyung-hayanglah, terutama sekali kami yang berdiri. Masing-masing mengukuhkan pegangan kepada tempat berpegang yang memang disediakan. Kadang-kadang aku rasa hendak ketawa melihatkan orang-orang yang seakan-akan hendak berlaga kepala itu. Apalah yang hendak dikatakan, memang su¬dah begitu.

"Eh, lu mau mati ka?" aku dengar suara keras berkata. Aku pandang ke arah itu, nampak seorang muda sedang memarahi seorang perempuan Cina tua yang mendukung seorang anak kecil di belakangnya. Perempuan Cina itu tidak berkata apa-apa, dan bangun semula setelah tersungkur ke atas orang muda itu. Kedua dua mereka itu nampaknya hendak marah belaka, melainkan seorang gadis yang di sisi orang muda itu sahaja yang senyum. Aku rasa kasihan pula melihatkan keadaan perempuan tua itu. Sudahlah berbeban, berdiri pula, dan kini dimarah pula. Tak usahkan ada orang yang memberi tempat duduk kepadanya, ada orang yang sudi mengangkatnya dari tersungkur pun cukuplah untuk meriakannya. Walau seribu kali kasihan pun apalah yang dapat dibuat. Ada mata, pandang dan ada telinga, dengar.

Keretapi sampai di tempat yang aku tuju. Setelah keretapi berhenti, berebut pula penumpang hendak turun. Aku masih berdiri lagi tidak bergerak. Di hadapanku orang bergerak perlahan-lahan. Di belakangku pula orang mengasak-asak. Aku pun menepikan diri, membiarkan sahaja orang lain bergerak dahulu. Akhirnya aku pun turunlah.

Aku berjalan tidak ada tujuan. Kerana hari pagi dan aku masih belum minum pagi itu, aku pun menuju ke kedai kopi. Ramai orang di situ. Aku memandang ke sana sini mencari tempat kosong. Tak ada meja yang kosong betul. Hanya sebuah satu dua daripada empat kerusi di satu meja itu sahaja yang kosong. Setelah dapat persesuaian di mana aku hendak duduk, baharulah aku duduk di salah sebuah meja yang terpencil sedikit. Ada dua orang lain di meja itu, seorang India dan seorang Cina. Mereka itu bercakap-cakap akan sesuatu hal. Aku dapat mengerti apa yang dicakapkan, kerana bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu (sekarang dipanggil Ba¬hasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu), walaupun tidak berapa betul sebutannya dan jalan bahasanya. Kopi dan roti yang aku minta pun sampai dan aku pun mula makan dan mi¬num sambil mendengarkan perbualan orang Cina dan India itu.

"Sami a, lu anak sikalang baca gulapa?" Cina itu bertanya kepada rakannya.

"Oh, gua punya anak ka. Baca lapanlah. Tapi satu taun tahan," orang India itu menjawab.

"Apa macam tahan?" orang Cina itu bertanya lagi. Dia hairan nampaknya.

"Oh, itu pasal ka. Saya punya anak cakap ishkul sikarang misti baca bangsaan. Bangsaan fail, buang," jawab orang India itu pula.

Dengan itu fahamlah aku apa yang sedang dicakapkan oleh mereka itu. Aku rasa hendak memberi penerangan ke¬pada mereka pada masa itu juga, tetapi perutku sangat memerlukan roti dan air kopi yang sedang tersaji di atas meja. Aku hiruplah air kopi itu. Hampir habis sekali sedut sahaja. Rotinya sudah tidak berbaki lagi. Aku letakkan cawan yang hanya ber isi separuh sahaja lagi di atas meja, sambil menyapu mulutku dengan sehelai sapu tangan yang aku ambil dari poket seluarku.

"Lu punya anak mana baca?" aku bertanya kepada orang India itu.

"Inggilis skul-la dia baca," jawabnya. Sambil itu dia memandang hairan kepada aku. "Ini macam tadak baikla. Bang¬saan fail, buang. Kita orang India mana tau bangsaan?" India itu merungut.

"Mututla. Gulayu tatak patut," sampuk Cina itu pula.

"Bukan ini macam tauke," aku mula berkata dengan hajatku hendak menerangkan perkara yang sebenamya, supaya tuduhan yang begitu tidak dibuat oleh mereka lagi. Aku rasa mukaku panas dan kadang-kadang meradang pula dengan tuduhan begitu. Aku diam seketika kerana mencari bahan untuk memberi penerangan yang betul kepada mereka berdua itu.

"Aya punya anak tak pas, tentu tahanlah" aku mula me¬nerangkan.

"Apa macam dulu punya jam tadak ini macam?" tanya orang India itu pula.

"Dulu lainlah. Sekarang kita sudah merdeka tentu ini macam. Semua orang mesti tahu cakap Melayu, Bahasa Kebangsaan. Bahasa Kebangsaan tak tahu sini tak boleh duduk. Cina boleh balik China punya negeri. India boleh balik India punya negeri. Kalau sini duduk, mesti tahu sini punya cakap," aku menerangkan. Aku khuatir kalau-kalau penerangan ini bo¬leh memanaskan hati keduanya. Aku bimbang!

"Oh, merdeka punya pasal ka. Merdeka baguslah. Sini wang tidak antar England lagi. Sini boleh bikin jalan, hospital busar punya," kata India itu. Dengan perkataannya itu jelaslah dia mengerti sebanyak sedikit hal negeri tempat yang didudukinya, iaitu Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan ber-daulat.

"Kita olang cali makan, apa pun kita tak pak laulilah. Lu olang cakap Gulayu baca, kita baca. Kacau-kacau kita tak sukaklah," kata Cina itu pula.

Dengan kenyataan mereka itu dapatlah aku mengerti apa sikap masing-masing. Memanglah mereka itu tidak banyak mencari fasal, asalkan semuanya boleh aman, sudahlah. Me¬reka tak peduli apa pun. Tetapi dalam begitu, entahlah kalau ada di antara mereka itu yang suka mencari fasal, manalah kita hendak tahu.

Sambil berbual itu, aku tak lupa menghirup air kopiku yang hanya tinggal separuh cawan itu. Maka habislah semua¬nya. Kalaulah di rumah sendiri, tentu aku meminta tambah lagi, tetapi di kedai, aku malu pula kepada orang ramai yang ada di situ.

"Sami a, gua, pigi sikalang," kata orang Cina itu kepada rakannya sambil bangun dari kerusi dan memanggil tauke ke¬dai itu dengan bahasanya sendiri yang aku sedikit pun tidak faham akan patah-patah perkataannya. Tetapi aku yakin maksudnya hendak membayar harga sarapan itu. Aku pun bangun juga sambil menyeluk poket seluarku, hendak mengambil duit untuk membayar sarapanku.

"Saya bayatla," kata Cina itu. Dia sungguh-sungguh nampaknya. Aku hanya mendiamkan diri.

"Saya bayarlah," kata orang India itu, bersungguh sungguh juga.

"Ah, tausalah," kata orang Cina itu pula dan sambil itu dia menghulurkan wang sepuluh ringgit merah kepada tauke yang sedang menanti itu. Tauke itu pun mengambil wang yang diberi itu dan mengira harga minuman dan roti-roti yang sudah habis dimakan. Kami berdua pun tidak berbuat apa-apa lagi, hanya berpandangan di antara satu dengan lain. Perlahan-lahan kami bertiga keluar dari kedai itu, masing-masing menuju haluannya.

Klik Untuk baca Bab 1 Bahagian 2