Aku sampai di perhentian keretapi. Nampaknya orang tidak ada lagi di situ, melainkan pekerja-pekerja sahaja. Pintu-pintu rumah itu pun semuanya tertutup. Aku hairan. Aku masuk ke dalam tempat orang menanti keretapi di mana banyak bangku panjang disediakan. Hanya ada dua tiga orang sa¬haja di situ. Aku bertambah hairan. Oh, hari itu tidak ada ke¬retapi mel petang, dan keretapi yang akhir sudah lepas, aku berkata di dalam hatiku, setelah teringat. Maka aku pun berpaling semula menuju ke bandar. Terpaksalah aku tidur di ban¬dar malam itu.
"Eh, Brahim. Engkau tak balik?" aku dengar suara orang memanggil. Suara itu suara seorang lelaki. Aku menoleh.
"Oh, Mat. Engkau di sini. Bila engkau datang?" aku bertanya. Mat ialah seorang kawan yang aku kenal di masa aku mengambil kursus di Kuala Lumpur dua tiga tahun dahulu.
"Aku tukar ke sinilah. Nasib tak baiklah," Mat menerangkan kepada aku. Aku sebenarnya tak tahu apakah kerja kawanku itu. Tidaklah aku hendak bertanya. Aku rasa hairan bila dia berkata nasibnya tak baik kerana ditukarkan di bandar kecil itu. Boleh jadi bandar ini bandar kecil dan hiburan tidak ada. Kalau ada wayang gambar pun ceritanya yang lama-lama belaka. Ini aku agak sahaja. Mungkin ada sebab lain dia ber¬kata begitu.
"Engkau hendak ke mana sekarang ni?" kawanku itu ber¬tanya lagi. "Aku tanya engkau tak balik tadi, kerana aku hen¬dak ke rumah engkau kalau engkau hendak balik," sambung-nya lagi.
"Aku bukan duduk di bandar ini. Aku duduk di kampung. Jauh," aku menerangkan kepada kawanku itu.
"Oh, aku ingat engkau duduk di sini. Tak apalah, aku nak pergi cari rumah sewa. Khabarnya di sana tu ada rumah sewa," kata Mat seterusnya dan mengangkat tangannya memberi hormatnya lalu pergi dari situ. Kami berpisah. Aku pun berjalan lagi.
Di mana aku hendak tidur malam ni? Aku bertanya diriku sendiri. Ada juga fikiranku hendak pergi tidur di rumah se-orang kawan. Tetapi kawanku itu ada isteri, dan baharu kahwin pula. Aku tak sukalah hendak mengganggunya, walaupun aku tahu dia tak keberatan menerima aku di rumahnya.
Ke rumah kawan lain? Aku bertanya diriku lagi. Ah, buat apa susah-susah? Aku tidur di hotel kan lagi baik, tak ada siapa yang hendak disegankan. Kalau di rumah kawan, ada segan itu dan segan ini. Makan, boleh aku makan di kedai sahaja, bisikan di hatiku. Maka aku memutuskan hendak tidur di hotel sa¬haja.
Tidaklah susah aku hendak menyewa bilik tidur, kerana adanya setiap masa. Aku naiklah ke atas loteng hotel yang menyewakan bilik itu. Sudah ada beberapa orang yang me¬nyewa bilik di situ. Mereka sedang berehat di bilik masing-masing. Aku pun ditunjukkan di mana bilik untuk aku. Bila su¬dah puas hati dengan bilik itu, aku masuklah ke dalam. Semua-nya siap belaka. Kerana aku tidak membawa kain maka aku pun baringlah dengan seluar pendek (seluar dalam) sahaja, merehatkan diri setelah sehari-harian berjalan ke sana dan ke mari. Pintu bilik itu aku tutup dan aku selak, jadi tak aku tahulah apa yang berlaku di luar bilikku itu.
Aku dengar orang berlari-lari di luar. Sekejap lagi aku dengar pula bunyi orang ketawa yang diikuti pula dengan hilai yang berdekah-dekah. Aku meradang kerana tak dapat hen¬dak melelapkan mata. Aku tak tahu siapa orangnya tetapi aku tahu mereka itu orang Melayu seperti aku, kerana cakap me¬reka itu bahasa Melayu. Mereka berdua sahaja bunyinya, seorang lelaki dan seorang perempuan, agaknya suami isteri. Tetapi mengapa mereka tinggal di bilik sewa pula? Aku tak peduli. Aku cuba memejamkan mata. Bunyi orang itu berlari-lari makin kuat dan begitu juga hilai ketawa mereka. Menjerit-jerit pula yang perempuan itu. Entah dipengapakan aku pun tak tahulah. Aku meradang betul. Apa yang boleh aku buat? Hendak dilarang nanti entah apa yang akan terjadi? Aku ingin melihat siapakah gerangannya. Aku pun bangun dan membuka pintu bilik itu. Apa yang aku lihat? Seorang lelaki dan seorang perempuan sedang bergurau dengan berlari ke sana ke mari di lorong antara bilik-bilik sewa itu. Aku nampak juga seorang lelaki lain keluar dari bilik lain. Mukanya masam. Aku tahulah dia pun marah, Kedua orang yang bersuka ria itu tidak mempedulikan kami berdua yang melihatnya.
Aku hairan dengan tabiat atau kelakuan orang yang semacam itu, sedikit pun tidak berasa malu kepada orang lain. Dari rupanya aku yakin orang itu sebangsa dengan aku keduanya. Hendak aku berdiri di pintu bilik itu aku takut dimarah oleh orang-orang itu. Maka aku pura-pura pergi ke tandas kerana buang air kecil. Bila aku balik dari tandas, mereka masih lagi bergurau, bahkan hilai ketawa mereka lebih kuat lagi.
"Eh, lu orang ingat ini lu orang punya rumahkah, bikin bising ini macam." bunyi suara orang yang tercegat berdiri di pintu biliknya itu memarahi. Mukanya garang. Orang sedang marahlah!
"Dia orang ingat ini tempat bikin ini macamkah," kata orang lain pula yang menjenguk dari pintu bilik lain.
"Eh, lu orang jangan banyak cakap banyak. Sini lu punya bapak punya tempat ka. Saya bayar sewa, saya suka bikinlah," kata orang yang bergurau dengan perempuan itu. Begitulah mereka mengakui hak masing-masing. Memang mereka itu berlainan bangsa. Orang yang mula-mula berkata tadi seorang India dan yang seorang lagi Serani.
Aku pun rasa sungguh-sungguh hendak marah juga ke¬pada orang yang bergurau itu, tetapi tidak sepatah pun perkataan keluar dari mulutku. Entah mengapa gerangan mulutku berat hendak berkata-kata pada masa itu, padahal pada masa-masa yang lain aku memang petah dan lancar bercakap mahu-pun bertengkar. Kadang-kadang sampai merah-merah mukaku bertaki (berbahas) dengan kawan-kawanku akan sesuatu hal yang aku tidak setuju atau tidak sependapat dengan mereka.
"Eh, lu ingat lu besarkah?" kata orang Melayu yang kena marah itu. "Apa lu mahu bikin," dia menyambung lagi. Kedua¬nya seperti harimau garang belaka.
Maka keduanya bertengkarlah dan tak dapatlah aku ajukan. Aku dan Serani itu hanya memandang kepada orang berdua itu. Perempuan yang juga terlibat dalam perkara itu mendiamkan diri, sambil memandang kepada orang yang menjadi lawannya itu dengan muka masam. Kalaulah dia seorang lelaki, entahlah orang itu, boleh jadi terus ditumbuknya. Ini jelas dari mukanya yang masam itu. Seketika kemudian datanglah tauke (tuan punya) hotel agaknya setelah mendengar suara yang menengking-nengking itu.
"Encik a, jangan galuhlah, tatak baik," kata tauke itu.
"Apa lu ingat kita orang bodoh ka. Selalu bising, satu minit pun tak mahu diam. Dia ingat sini tempat main perem¬puan ka. Ini macam punya orang satu sen pun tak guna, tak ingat sama orang lain. Sendiri ingat saja," kata orang India yang fasih bercakap Melayu itu. "Sial Punya orang, tak tahu malu!" dia menyambung lagi. Dan dengan itu dia pun masuk ke dalam, biliknya, menutup pintu bilik itu dengan kuat ma¬cam hendak pecah papan itu bunyinya.
"Encik a, jangan ini macamlah. Tatak baik. Gua sutat cakap jangan mising. Nanti olang malah, gua susah," kata tauke itu pula kepada orang yang kena marah yang tadi bergurau dengan perempuan itu. Orang itu pun masuk ke dalam biliknya diikuti pula oleh perempuan itu. Aku dan Serani itu pun masuk juga.
Memang orang itu (orang yang bising) patut kena marah. Aku, dan aku agak orang lain juga tidak peduli halnya dengan perempuan itu, tetapi perbuatannya membuat bising dan mengganggu orang lain memang aku kira tak patut. Perbuatan¬nya dengan perempuan itu, walau apa sekalipun, apalah yang hendak orang lain susahkan, kerana dialah yang menanggung dosanya. (Aku kira dia orang Islam dan perbuatannya begitu berdosa hukumnya). Memang perbuatannya itu aku kira keji. Orang lain aku tak tahulah apa pandangannya. Bagaimanakah yang aku kata keji? Kalau aku main kata sahaja, memanglah aku tidak tegas atau tidak jujur. Tetapi aku sudah sedia dengan buktinya sekali. Kalau tidak, aku tidak berani berkata apa-apa. Dalam hal orang berdua itu pun buktinya demikian sudah cukup. Kalau seorang perempuan hanya berpakaian seluar pendek yang mendedahkan pahanya dan bahagian badannya yang patut ditutup, umpama dua buah dadanya, pun terdedah dan yang tertutup hanya kemaluannya sahaja, siapakah yang berani berkata perbuatan itu tidak keji. Si lelaki pun demikian juga. Kalau mereka berdua itu berada di dalam bilik yang bertutup yang tidak ada orang lain nampak, tidaklah menjadi hal. Ini, berlari ke sana dan ke mari di tempat orang lalu-lalang. Kononnya biarlah nampak dek orang lain dan begitu dikira megah. Bagi aku, aku memang tak suka dengan perbuatan yang semacam itu. Orang lain aku tak tahu, terpulanglah kepada diri masing-masing.
Setelah orang berdua itu (orang yang bergurau itu) masuk ke dalam bilik mereka, dan suasana pun senyap, aku pun ba¬ring di atas katil. Rasa rehat sedikit dalam suasana yang senyap itu. Pada masa itu jam tanganku menunjukkan pukul tujuh lebih dua belas minit, dan lampu di blok itu sudah dipasangkan oleh tauke hotel. (Lampu yang aku katakan ini, ialah lampu elektrik yang digantung di tengah-tengah rumah itu. Dalam tiap-tiap bilik pula ada sebiji lampu kecil digantungkan).
Sambil terbaring itu aku terkenang akan banyak hal. Terbayang rasanya ibuku sedang marah-marah kerana aku tak balik hari itu. Apalah yang hendak aku jawab, bila aku ditanyai kelak? Memang aku selalu begitu. Kadang-kadang memang aku sengaja tidak hendak balik. Tetapi kali ini aku tidak sengaja. Tak tahulah apa yang akan aku katakan kepada ibu dan ayah nanti. Kedua orang tua itu memang cerewet orangnya. Ibu dan bapa tentulah memandang penting akan hal anak-anaknya. Begitulah selalunya.
"Memang engkau leceh. Apa yang engkau sendiri hen¬dak, engkau sendiri pun tak tahu. Engkau ingat engkau kecil lagi? Masih kena leter. Brahim, engkau mesti ingat. Engkau sekarang sudah besar panjang. Aku tak kuasa nak berleter. Nanti kalau aku berleter, engkau kata aku ni ceropeh (banyak cakap). Ingatlah sikit. Jimat sebelum habis, ingat sebelum kena," demikian kata-kata ibu menasihatkan aku pada satu masa beberapa lama dahulu. Aku masih teringat-ingat akan kata-katanya itu. Sambil itu aku menengadah ke atas. Aku mengeluh dan bangun dengan hajat hendak pergi mandi dan kemudian pergi makan dan berjalan-jalan di bandar sambil melihat-lihat. Maka aku pun mengambil kain tuala yang disediakan dalam bilik sewa itu lalu pergi mandi. Lepas mandi aku mengenakan pakaian dan bila sudah siap aku pun turun dari situ menuju ke kedai makan.
Di bandar yang aku kunjungi ini memanglah banyak kawan-kawanku, kerana boleh dikatakan di sinilah aku setiap masa berada selama aku bersekolah. Maka tak putus-putuslah aku bertemu dengan mereka. Ada juga yang tidak menegur langsung. Entah mereka tak nampak aku, aku pun tidak tahu. Tetapi bagi aku kalau seorang itu berlagak sombong aku pun berlaku lebih sombong kepadanya. Jadi tak hairanlah aku dika¬takan sombong juga. Bukan aku tak mahu membuang tabiat ini, tetapi entah mengapa tak dapat aku lakukan. Sebaliknya pula, kalau seorang itu berlaku baik kepadaku, habislah wang dalam poket kerananya, aku belanjakan. Kalau makan dan minum dengan orang yang semacam itu di kedai kopi memang akulah yang membayar harganya. Begitulah tabiatku semula jadi. Entah baik, entah tidak tabiat begitu tak dapatlah aku nilaikan melainkan terpulanglah kepada masyarakat yang di sekelilingku yang akan menganggapnya dan membuat penilaian.
"Eh, Brahim. Engkau nak ke mana?" aku dengar suara gadis manja menegur aku. Aku menoleh nak balas bertanya kepada pemuda yang berjalan dengan gadis itu:
"Engkau nak ke mana tu, Razak?" Dia dan gadis itu tersenyum memandang aku. Mereka itu ialah Razak dan Hindun, rakan sekampungku.
"Ke sini sajalah," jawab Razak. Aku memandang pula kepada Hindun.
"Engkau bila datang Endun?" Dia senyum sebelum men-jawab. Aku tentulah senyum juga.
"Dah dua hari. Periksalah," kata Hindun menjelaskan hal kedatangannya ke bandar itu. Aku rasa hairan, entah mengapa sambil bercakap itu, Hindun selalu mengerling kepada Razak dan sekali-sekali dikenyitkannya matanya. Aku pandang muka Razak. Dia begitu juga, selalu senyum-senyum. Dengan itu terbit syak wasangka dan satu perasaan yang lain macam pada diriku. Aku tak pedulilah akan perasaanku itu dan terus me-nyambung perbualan.
"Saya pun dah dua hari juga di sini," kata Razak pula dengan tak payah aku bertanya lagi kepadanya. Aku memang tak payah bertanya lagi, kerana aku sudah tahu tujuan kedua-dua mereka itu (Razak dan Hindun) sama-sama hendak menjadi guru pelatih di sekolah Melayu. Keduanya itu baru sahaja lulus darjah yang tinggi sekali di sekolah Melayu iaitu Darjah Enam. Jadi tidak adalah peluang bagi mereka yang berkelulusan demikian selain menjadi guru pelatih di sekolah tempat mereka menamatkan pelajaran atau di sekolah Melayu lain yang seumpama itu. Razak tentulah datang kerana peperiksaan seperti Hindun juga.
"Engkau pula bila ke mari?" Razak bertanya aku.
"Aku pagi tadi," jawabku.
Dengan itu aku mempelawa mereka berdua itu makan ke kedai makan. Mereka pun menurut dan makanlah kami bertiga di kedai kepunyaan seorang yang dari cakapnya, aku tahu ia berasal dari tanah seberang iaitu Indonesia, daerah Minangkabau. Sambil itu tak putus juga kami bertiga berbual-bual.
"Engkau tengok wayang tadi Brahim?" Hindun bertanya waktu aku sedang menyuap nasi. Tak dapat aku hendak menjawab pada masa itu juga, kerana nasi penuh dalam mulutku.
"Sedap ceritanya," aku memberitahu setelah menelan nasi yang dalam mulutku itu.
"Memanglah ceritanya sedap. Tetapi cara memilemkan-nya tak begitu memuaskan. Patutnya cerita itu berlaku di tem¬pat kita ni pada zaman dahulu. Ini, di tengah rumah-rumah orang Melayu zaman dulu tu ada pula sebuah dua rumah batu. Jalannya pula semua jalan motokar yang berminyak tar. Padahal masa dulu mana ada jalan yang begitu. Kalau ada pun jalan kecil-kecil tanah merah." kata Razak membuat kritikannya.
Aku pun menganggukkan kepala sahajalah, kerana aku tidak memerhatikan sungguh-sungguh perkara yang seperti itu pada masa menonton tadi. Tetapi memang aku teringat ada ternampak akan perkara yang seperti itu. Cakap Razak itu memang betul.
"Alah, nak kritik pulak. Kalau awak mengarahkannya entah macam mana pula," kata Hindun sambil senyum dan menjeling kepada Razak. Aku fahamlah, Hindun hanya hendak bergurau. Banyak lagi perkara yang kami bualkan, dan akhirnya sudahlah kami makan. Berebut-rebut kami bertiga hendak membayar harga makanan yang kami makan itu, dan akhirnya aku menang. Setelah itu kami pun keluar dari situ dan berjalan menuju ke tepi sungai tempat aku pergi sebelum ke-linggalan keretapi petang tadi.
"Eh, mari kita ke sanalah. Di situ tak bising sangat, boleh kita berborak lagi. Saya pun ada soalan tawarikh nak tanya Brahim," kata Hindun.
"Saya pun ada juga yang nak saya tanyakan. Esok kita periksa Tawarikh dan Ilmu Alam. Marilah kita ke sana," kata Razak pula. Maksud mereka hendak bertanya kepada aku perkara-perkara yang mereka akan hadapi hari esoknya dalam peperiksaan mereka. Aku pun mengikutlah. Kami pergi ke satu tempat yang sunyi sedikit, tetapi lampunya terang. Orang tidak ramai di situ.
Kami menuju ke sebuah meja yang diperbuat dari batu yang sudah menjadi kebiasaan bagi tempat yang seperti itu. Duduklah kami masing-masing di sebuah bangku. Sebuah bangku lagi tinggal kosong kerana di tempat itu ada empat bangku batu bulat begitu.
"Nak makan apa lagi?" aku bertanya.
"E, makan lagi? Tak payahlah. Baru kejap kita sudah makan nasi. Buat membazir saja. Kita duduk-duduk cukup-lah," kata Hindun. Memang aku setuju dengan perkataannya itu. Tetapi bagiku kalau hendak makan pun tidaklah menjadi hal. Bukan pula aku kata begitu, aku ada banyak duit, tidak. Kadang-kadang aku sudah makan nasi dan bila diajak oleh se-orang kawan aku makan juga. Begitu aku kira untuk mengambil atau menawan hati kawanku itu. Nanti kalau tiap-tiap kali pelawaan orang ditolak, boleh jadi dikatanya tak sudi.
"Ai, bila lagi kita nak makan belanja Encik Brahim ni?" Razak menjawab. Dia bergurau sahaja nampaknya.
“Itu bukan kawan namanya. Membunuh. Kita berkawan biarlah cara berkawan. Kita mesti bertekad jujur. Cuba kita yang dibuat begitu, apa pula rasa hati kita?" Hindun menempelak perkataan Razak.
Ketika itu aku nampak muka Razak berubah, menjadi pucat. Malu agaknya. Walau begitu dia senyum juga.
"Aih, apa salahnya," aku berkata pula. Ketika senyum Razak melebar lagi. Hindun menjeling kepadaku. Pandangan Hindun kepada Razak jarang benar yang tepat. Melainkan mengerling sambil mengorak senyum. Begitu juga Razak selalu suka mengusiknya. Kami pun teruslah berbual lepas satu perkara kepada perkara yang lain. Aku menanti-nantikan soalan dari Hindun dan Razak, kerana pada mulanya mereka berdua telah berkata hendak bertanyakan soalan Tawarikh dan llmu Alam yang mereka berdua akan diperiksa pada pagi esok-nya. Nasib baik juga aku tidak ditanya. Kalau ditanya sedikit benar yang dapat aku jawab, kerana aku juga tidak tahu sangat Tawarikh dan Ilmu Alam Tanah Melayu, tanah tempat tumpah darahku sendiri. Kalau hendak berdalih memang boleh. Aku katakan sahaja yang aku sudah lama benar tidak membaca darihal Tawarikh dan Ilmu Alam itu dan kalau aku membaca-nya pun hanya yang ringkasnya sahaja. Di sekolah Melayu, mereka belajar yang lengkapnya. Aku agak kawan-kawan yang sedarjah dengan aku semasa aku di sekolah Inggeris pun lebih kurang juga dengan aku. Memangnya kami banyak belajar hal negeri-negeri asing, umpamanya hal negeri Eropah dan negeri-negeri Barat yang lain
Jam di tanganku menunjukkan piikul dua belas kurang lima minit malam. Memanglah jamku itu tidak berapa tepat waktunya, maklumlah jam harga murah. Bagiku asal ada sudahlah, tidak aku mengirakan harganya. Kadang-kadang ada juga aku meradang dibuat oleh jam tanganku itu, kerana perjalanannya terhenti, dan kadang-kadang jarumnya jatuh terpaksalah aku menghantarnya ke rumah tukang untuk dibaiki. Tak apalah, asal aku ada jam tangan macam orang lain sudahlah. Kalau tak ada orang akan berkata, "Apalah anak orang tu, tak ada harta pun." Dan dengan itu ibu dan ayahku merasa malu.
"Sy, diam kejap!" aku dengar suara Hindun berkata perlahan waktu aku sedang mengatakan sesuatu pada Razak. Kami pun diam.
"Ada orang menangislah. Cuba dengar tu," Hindun berbisik kepada kami berdua. Memang betul katanya itu. Aku pun dengar. Kami bertiga pun tidaklah berkata apa-apa. Kami tak nampak orang itu, tetapi suaranya jelas kami dengar. Juga kami dengar dan kenal suara itu suara seorang perempuan. Sebentar lagi kedengaran pula suara seorang lelaki garau, me-mujuk perempuan yang menangis itu.
"Usahlah engkau bersusah hati dik. Sudah nasib kita begini. Walaupun kita tidak akan berkahwin sampai hari kiamat pun, aku tetap cinta kepadamu. Percayalah," kata orang lelaki itu. Ketika itu Hindun memandang kepada aku dengan senyum yang mengejek. Bukan aku yang diejeknya, orang itulah. Memang aku faham Hindun dan Razak mengejek orang itu. Kami tidak nampak orang yang berdua itu kerana mereka di sebalik sepohon kayu besar. Agaknya di situlah mereka ber¬dua itu bersandar. Perempuan itu terus juga menangis.
"Abang bawalah Dah ke mana abang suka sekarang juga. Hidup Dah tidak ada ertinya lagi kalau tidak di samping abang. Abang Jiz bawalah Dah. Dah rela bersama abang walau ke dalam neraka sekalipun. Bang Jiz!!!" rayu perempuan tersedu-sedu.
Dengan itu aku pun tahulah nama mereka itu. Yang lela¬ki nya Aziz dan perempuannya salah satu daripada nama-nama seperti Hamidah, Zaidah, Zabedah, Saudah atau sebagainya. Sejak kami mendengar suara orang berdua itu, kami tidak ber¬kata walau sepatah pun. Entah mengapa, entahlah. Tidak berapa ketika itu juga kami nampak orang berdua itu (orang yang berpujuk rayu itu) berlalu dari situ sambil berpegangan tangan. Maka kami pun hanya berpandangan saja dan kami semua sudah mengantuk.
"Baliklah," kata Hindun.
"Mohlah," aku berkata pula. Lalu kami bertiga pun bangun dan berjalan menuju haluan. Aku ke hotellah. Razak dan Hindun entah ke mana, aku tak tahu. Aku mengajak juga Razak tidur bersama aku di hotel, tetapi katanya, kalau tidur di hotel bersama aku, tidak berkawanlah Hindun balik ke rumah bapa saudaranya. Di situlah mereka berdua itu menumpang tidur semalam dua itu agaknya, semasa mereka mengambil peperiksaan.
Adapun Hindun dan Razak itu berpupu. Keduanya me¬mang begitu, bergaul terlalu bebas. Ibu bapa mereka tidak pula menghalang sikap keduanya begitu itu. Keduanya tidak pula berlaku curang kepada satu dan lainnya. Begitulah me¬reka sejak dari kecil lagi. Kalau di kampung, pandai pula ke¬duanya membawa diri. Tidak bergaul terlalu bebas seperti itu. Di kampung kalau buat begitu tentulah kena fitnah. Orang kampunglah! Bukan mereka tahu itu semua. Kalau berjalan berdua, seorang perempuan dan seorang lagi lelaki, tak baiklah kata mereka dan fitnah akan merebak dari satu mulut kepada mulut yang lain.
Aku sampai di hotel tempat aku menyewa bilik itu. Hotel itu sudah tutup. Maka aku pun menggerakkan tauke kedai itu. Memangnya ia tidur dekat pintu hadapan, menanti orang-orang menyewa biliknya yang balik lambat. Aku pun masuk dan terus naik ke atas loteng menuju bilik yang aku sewa. Lampu belum lagi dipadamkan. Entah baru dipasangkan, entahlah. Aku pun masuklah. Letih badanku tidak dapat aku kirakan lagi. Aku menghempaskan diri di atas tilam yang lembut itu. Walaupun ada bunyi bising oleh orang bergurau di bilik sebelah, aku tetap juga memejamkan mata dan akhirnya aku lena.
"Oi, encik a. Muku mulum tuli a," aku dengar orang membangunkan aku; tauke kedai itu. Entah berapa minit sahaja aku baru tidur. Meradang betul aku kepadanya. Siang-siang tadi tak ada yang hendak disuruh apa-apa. Aku memang tahu dia hendak menyuruh aku menulis nama dan alamat serta nombor kad pengenalanku di buku peringatannya. Aku pun membuka pintu.
"Dah tidur?" kata orang yang bersama tauke Cina itu. Dia Bakar, kawan sekampungku. Aku rasa hairan mengapa dia berada di situ. Tauke itu sudah pergi ke mejanya. Dia menanti aku di situ, supaya aku datang menuliskan yang mustahak di bukunya itu.
"Aku nak tumpang tidurlah. Razak kata engkau ada di sini. Aku datanglah," kata Bakar.
"Masuklah," aku menyuruh Bakar kawanku itu.
"Tuli lulu-la encik," kata tauke itu. Maka aku pun pergi ke mejanya dan menulis seperti yang dikehendaki di buku itu. Bakar pun demikian juga. Bila sudah, kami berdua pun masuk-lah ke dalam bilik. Walau sudah lebih dua minit di dalam bilik itu, Bakar belum lagi menanggalkan pakaiannya. Dia hanya duduk di atas bangku kayu di situ.
"Sy," kata Bakar sambil meletakkan jari telunjuk ke mulutnya dan menunjuk arah ke bilik sebelah. Dia menelinga.
"Ah, tak usah dihairankanlah. Biarkan mereka dengan hal mereka sendiri." kataku. Bakar pun diamlah sambil menggelengkan kepalanya. Kami lalu baring dan tidur. Bakar baring dengan seluarnya sekali.
"Brahim," tiba-tiba Bakar berkata.
Aku menoleh kepadanya dan dia bangun serta-merta.
"Boleh tak engkau tolong aku," kata Bakar lagi semasa iiku belum sempat bertanya apa-apa.
"Apa bendanya?" aku bertanya.
"Aku keputusan duitlah. Esok aku nak balik pun tak ada duit," kata Bakar.
Mendengarkan perkataannya hendak meminjam duit itu, aku terdiam sekejap. Apalah yang hendak aku katakan, duitku pun tidak berapa ringgit sahaja yang tinggal di dalam poket.
"Aku pun tak ada duitlah," aku berkata.
"Ah, tolonglah Brahim. Ke mana aku nak minta tolong duit tambang besok, kalau tidak engkau tolong?" Bakar merayu.
Aku masih diam. Kasihan pula aku melihatnya melintuk-lintukkan lehernya. Tetapi kalau aku beri duit kepadanya, apa hal pula aku. Nanti aku pula jadi sepertinya. Orang aku tolong, aku sendiri jadi susah. Aku serba salah.
"Tolonglah aku Brahim. Engkau tak percayakan akukah? Nanti sampai di kampung aku bayar duit engkau tu. Tolong¬lah," Bakar masih merayu. Ini menjadikan aku kelam-kabut. Aku pun bangun menuju ke seluarku yang tersangkut di dinding. Aku ambil bekas duitku di dalam poket seluar itu.
"Engkau nak berapa ringgit? Engkau kata nak buat tambang. Tambang seringgit saja," aku berkata kepada Bakar.
"Bagilah tiga ringgit," dia meminta.
"Buat apa tiga ringgit. Kan tambang seringgit saja?" aku bertanya.
"Ah, takkanlah aku tidak nak bawa balik apa-apa untuk adik-adikku. Engkau ni pun satu juga," kata Bakar memberikan alasannya.
"Kalau tiga ringgit aku tak ada. Aku ada tiga ringgit saja lagi'hah. Kalau aku beri kepada kau semuanya, apa halnya aku. Di mana aku hendak ambil duit tambang?" aku menjelaskan keadaan yang sebenarnya.
"Bagilah dua ringgit. Tinggal kau seringgit," kata Bakar pula.
"Jadi engkau suruh aku puasa pagi esok?" aku berkata serious.
"Kerana kawan tak sanggup engkau berlapar beberapa jam sahaja? Pukul sepuluh kita sampai di kampung," kata Bakar memujuk.
Aku dengan Bakar memanglah sudah berkawan baik sejak dari sekolah Melayu lagi. Dia pun baik juga orangnya. Tetapi aku masih khuatir.
"Esoklah aku beri," lantas aku berkata setelah mendengarkan penerangannya itu. Memangnya aku terpengaruh dengan falsafahnya itu. Sudah biasanya aku tidak mengira sangat hal wang duit dengan kawan-kawan.
"Aku nak keluar lekas pagi esok. Engkau nak tidur. Kalau aku gerak nanti engkau terganggu pula," kata Bakar lagi.
Setiap perkataan Bakar aku fikir benar belaka. Memang aku mengantuk dan hari pun sudah hampir pukul satu malam. Jadi aku berikan duit itu dua ringgit kepadanya.
"Banyak terima kasih Brahim. Engkaulah kawan yang sebenarnya," kata Bakar dengan wajah yang berseri-seri. Setelah itu aku baring semula. Bakar pun baring juga tetapi dia tidak juga menanggalkan seluar dan bajunya. Aku tak peduli-lah. Aku terus tidur.
Agak pagi juga aku bangun. Entah mengapa aku duduk termenung di atas katil, terasa lapar dan dahaga. Aku pun ba¬ngun dan pergi mandi. Sudah mandi, aku bersiap. Pada masa aku bangun tadi Bakar tak ada lagi di bilik. Aku agak dia sudah berada di stesen keretapi. Bila hendak turun dari loteng ketika itulah aku teringat aku tidak ada duit lagi, hanya ada untuk tambang sahaja. Aku pun turunlah dari loteng itu pergi memulangkan kunci bilik kepada taukenya. Wang sewanya sudah aku bayar terlebih dahulu semalam. Aku mengucapkan berbanyak terima kasih kepada tauke itu. Dia pun demikian juga. Aku pun berjalan menuju ke stesen keretapi yang akan membawa aku balik ke kampung, kerana keretapi akan berlepas ti¬dak berapa puluh minit sahaja lagi.
Ramai benar orang di stesen pada masa itu. Orang balik dari menonton wayang gambar cerita Melayu malam tadi. Memang di bandar itu ramai orang yang datang dari kampung kalau ada pertunjukan wayang gambar cerita Melayu, terutama sekali orang-orang muda seperti aku dan gadis-gadis. Mereka memang jarang melepaskan peluang seperti itu.
Walau orang ramai di situ, tetapi Bakar tak pun nampak muncungnya. Aku memandang ke sana sini. Kalau dia ada boleh juga aku buat kawan berbual. Tetapi dia tidak kelihatan. Aku pun membeli tiket. Susah benar hendak membeli tiket kerana orang yang ramai itu. Aku tak sukalah berebut begitu. Tak tahu apa sebab mereka boleh jadi berebut-rebut begitu. Oh, ya. Kalau mereka dapat tiket cepat, dapatlah mereka tempak duduk. Itulah sebabnya aku selalu berdiri di dalam kereta¬pi, kerana aku tak kuasa berebut. Aku nantilah orang itu habis semuanya membeli tiket. Masa bagiku pun sampailah. Duit untuk membeli tiket itu aku pegang kuat-kuat, takut terjatuh. Kalau jatuh, di manalah hendak aku ambil duit lagi. Maka dapatlah tiket yang aku kehendaki itu. Aku pun menuju ke gerabak keretapi lalu naik. Aku memang ingin benar hendak bersama Bakar di dalam keretapi itu. Orang-orang lain yang aku kenal memang ada, tetapi mereka itu tidaklah seperti Ba¬kar yang selalu suka berbual fasal kisah-kisah seronok dan membikin aku dengannya gelak ketawa. Tak ada juga dia. Aku berjalan ke hulu dan ke hilir mencari tempat duduk dan sambil itu memerhatikan Bakar. Tempat duduk tak ada yang kosong dan Bakar entah di mana. Maka berdirilah aku di gerabak tem¬pat orang memuatkan barang-barang. Perutku tidak terkira laparnya. Ada juga rasa hendak marah kepada Bakar, tetapi apalah yang hendak aku katakan, sudah jadi begitu, begitulah.
Keretapi mula bergerak dan Bakar entah di mana lagi. Aini, seorang gadis kawanku di sekolah dahulu, ada juga di dalam keretapi itu, tetapi aku segan hendak bercakap dengan¬nya, maklum dia sudah menjadi tunangan orang. Kassim ada juga. Hendak juga aku bercakap dengannya tetapi sekali aku berkata, sekali jugalah dia menjawab dan tidak lebih. Begitu¬lah tabiatnya. Di satu tempat ada bunyi gegak ketawa orang-orang muda berborak sambil berseloroh. Ingin aku hendak bercampur dengan mereka itu, tetapi aku tidak kenal kepada mereka. Mereka dari kampung lain. Maka berdirilah aku sam¬bil memandang keluar, kepada kayu-kayan yang sekelompok demi sekelompok lagi berlalu atau dilalui oleh keretapi yang berjalan sederhana cepatnya.
Di mana Bakar? Boleh jadi dia tak sempat dengan kere¬tapi atau adakah keterangannya semalam itu hanya helah hen¬dak mendapatkan wang aku sahaja? Atau apakah kisah yang terjadi kepadanya dengan duitku yang dua ringgit itu? Bermacam-macam soalan terbayang di kepalaku. Rupanya aku ditipu oleh Bakar, tiba-tiba hatiku berkata dan ketika itu juga pe¬rutku berasa pedih, agaknya kerana kekosongan itu. Tak apa¬lah kerana kawan, kata hatiku lagi. Mahu tak mahu pun kau terpaksa menderita lapar dan haus. Kesimpulannya aku lapar kerana kawan. Bolehkah aku berlapar kerana kawan lain lagi? Boleh jadikah kata-kata kawanku itu betul? Atau boleh jadi-kah duitku yang dua ringgit itu digunakan kerana satu-satu faedah yang berguna atau kerana perkara keji (maksiat)? Entah, aku tak tahu. Manalah aku tahu. Di aku, hak aku, di orang hak orang. Biarlah.
Lepas satu stesen, satu lagi tiba dan akhirnya sampailah di tempat aku. Ramai orang turun di situ. Ada yang aku kenal dan ada juga yang tidak aku kenal. Walaupun semuanya orang kampung itu, tetapi banyak juga yang aku tak kenal. Ada yang kenal tidak pula aku tahu namanya.
Bila aku turun, Aini, gadis comel itu, memberikan senyumannya dan dia menggores hatiku. Aku memberikan pula senyumanku.
"Balik?" Aini bertanya.
"Balik juga," aku menjawab. Dan itu sahajalah. Masing-masing menuju haluan. Bakar tidak kelihatan. Memanglah dia tidak balik dengan keretapi itu.
Tak lengah lagi aku pun berjalan cepat menuju rumahku. Maklum perutku lapar dan tekakku haus. Rumahku itu jauh juga dari stesen. Kalau diagak, adalah lebih kurang tiga suku batu. Lebih kurang sepuluh minit aku berjalan, maka aku pun sampailah di rumah. Aku rasa cukup lapar dan haus. Rumah itu semuanya bertutup. Pintu besar berkunci. Semua yang di rumah entah ke mana perginya.
Aku naik ke atas pelantar, duduk. Aku memandang ke sana sini, tak ada juga nampak seorang pun ahli dalam keluarga kami yang balik. Seminit, dua, tiga, empat, lima dan waktu berjalan dan berjalan. Tidak ada juga yang balik. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan. Ah, bulan puasa dulu aku tahan berlapar, fikir hatiku. Maka dengan itu teruslah aku bersabar. Apa lagi yang hendak dikatakan kalau tidak berbuat begitu. Teruslah aku duduk di atas pelantar itu. Tak lama lagi baliklah mereka itu. Ke manakah perginya, akhirnya balik juga, aku berfikir. Mataku tetap juga memandang ke sana sini.
Sambil itu aku teringat kepada Bakar. Kerana dialah aku menderita lapar dan haus begitu. Ketika itu tak putus-putus juga aku memandang ke sekeliling arah di sekitar rumah itu. Aku pun ternampak seorang budak sedang menjunjung sebiji bakul. Di belakangnya beberapa orang sedang berjalan ke arah rumah itu juga. Alangkah gembiranya di hatiku, kerana mereka itu ialah orang-orang yang aku nanti-nantikan. Masa yang begitu pendek aku rasa terlalu panjang.
" Abang ada alik," tempik adikku Latif yang kami panggil Dol, ringkasan dari Abdul. Namanya Abdul Latif. Walaupun adikku itu gembira kerana aku sudah balik, tetapi hatiku semakin sedih. Biasanya adik-adikku itu mendapat buah tangan umpama buah epal, limau atau anggur, kalau aku balik dari ban¬dar. Tetapi ini tidak ada apa-apa pun. Apalah yang hendak aku katakan. Semuanya itu kerana kawan. Ya, kerana kawanku Bakar.
Ibu dan ayah pun naik ke rumah. Adik-adikku pun naik juga. Lepas itu Hamzah adikku yang besar pun hendak pergi mandi.
"Dol mari mandi," kata Hamzah kepada adiknya.
"Dol tak au anilah,1' kata Dol. "Dol nak anya ayang ada abang," sambung Dol lagi memberikan alasannya.
"Pergi mandi nak," kata ibu pula kepada Dol.
"Moh mandi Dol. Abang pun nak mandi. Balik karang abang cerita fasal wayang tu," aku mengajak adikku itu dan memujuknya. Aku pun menanggalkan baju dan memakai kain pelekat. Dengan membawa sehelai tuala dan bekas sabun pergilah aku mandi. Kedua adik-adikku itu mengikut di belakang. Sambil mandi aku menceritakan kisah wayang yang aku tengok di bandar kepada kedua adikku itu.
Siaplah kami mandi dan balik ke rumah. Di rumah ibu sedang sibuk memasak, menyediakan makan tengah hari. Aku mendekati almari tempat simpanan makanan. Ada juga kuih pisang, rebus keledek yang tinggal, lebih daripada makan pagi agaknya. Aku pun makanlah dengan penuh selera, maklum aku lapar dan haus. Siapalah tahan tak makan sejak dari pagi. Sudah itu aku pergi ke serambi. Ayah sedang sibuk meraut rotan penjalin lukahnya. Aku tak pandai membuat kerja begi¬tu, kerana tak pernah aku cuba. Ayahku pun tidak mengaiar aku dan tidak menyuruh aku mempelajarinya. Maka aku pun duduklah sahaja memerhatikan ia bekerja dan menantikan nasi masak.
"Engkau ke mana semalam?" ibuku bertanya waktu kami sedang makan dan aku sedang mengunyah nasi dan lauk keladi rampai ikan puyu yang menyelerakan.
"Saya ke bandar mak," aku menjawab.
"Memang itulah kerja engkau. Lain tak ada. Tengok wayang sahajalah. Engkau mampus kalau tak tengok wayang tu?" ibuku mula berleter.
Aku memang tahu perangai ibu suka berleter dan aku tidaklah menghiraukannya. Aku menundukkan kepala sahaja. Aku tahu ibuku itu hendak marah, kerana aku selalu meminta duit dan kadang-kadang aku ambil sahaja dengan tidak memberitahunya. Nasib baiklah aku beribukan dia, kalau tidak tentulah selalu dimarahi dan mungkin dihebohkan sebagai pencuri. Aku biarkan dia merungut dan berleter sepanjang mana yang dia sanggup. Untuk percubaanku mendiamkannya, aku cuba berjenaka. Kadang-kadang bersembur-sembur nasi dari mulut adikku Dol bila dia ketawa kerana geli hati dengan jenakaku itu. Akhirnya ibu ketawa juga. Ayahku hanya senyum-senyum simpul sahaja. Memang tabiatnya begitu tidak suka banyak cakap. Sudah hampir dua puluh tahun umurku, tidak sekali pun dia memarah atau memukul aku dan adik-adikku. Kalau dia bercakap, hanya perkara-perkara yang mustahak sahaja. Dia berlainan benar daripada ibuku yang selalu becok seperti burung murai. Ada juga ayahku mencegahnya dengan berkata, "Hai awak ni, sudahlah." Hanya itu sahaja dan tak lebih dari itu. Kalau beria benar ibu marah-marah, ayah terus menghilangkan diri, pura-pura pergi ke suatu tempat dan membuat kerja. Padahalnya dia tak suka mendengarkan leteran ibu. Begitulah keadaan ibu dan ayahku. Aku pula, kalau ibuku itu berleter atau berungut, aku pun mengeluarkanlah jenakaku yang boleh menggelikan hatinya dan membuat dia ketawa. Maka dia berhentilah berleter. Kalau adik-adikku ada sama ketika itu, tentulah mereka yang memulakan ketawanya dan ibuku turutlah ketawa. Begitulah kami.
Aku siap makan lebih awal daripada yang lain-lain. Berpeluh-peluh aku makan. Maklum perut lapar benar. Aku pun pergi duduk-duduk di pelantar. Sambil mencungkil gigi, aku memandang ke satu arah awan biru jernih di langit. Panas terik benar tengah hari itu. Biasanya itulah salah satu alamat hari hendak hujan lebat. Peluh badanku menjadi-jadi keluarnya, hingga aku terpaksa menanggalkan baju, dan hanya memakai seluar pendek sahaja. Masaku pada saat itu kosong, tidak ada apa yang hendak aku buat selain daripada mencungkil gigi. Maka aku pun masuk ke dalam dan mengambil biolaku, memainkan beberapa lagu Melayu Asli yang memang menjadi pujaanku. Begitulah aku, kalau ada masa lapang biola atau bukulah yang menjadi rakan baikku. Dengan itu segala yang merungsingkan hilang, tidak terkenang kepada sesuatu melainkan menikmati irama lagu sahaja.
Terasa mata mengantuk. Aku masukkan biola yang aku gesek itu ke dalam bekasnya. Aku pun masuk ke dalam bilik di mana tersedia sebuah tilam lembut di atas katil. Ibukulah yang memelihara kebersihan dalam bilik itu. Tentang tempat tidur dan perhiasan rumah, ibuku selalu sangat jaga dan teliti. Begitu sudah tabiatnya. Kalau adik-adikku membuat kotor di ru¬mah, sudah tentu mereka kena belasah oleh ibu. Dia benci keadaan begitu. Setiap malam sebelum tidur, mereka itu diperiksanya. Kalau kaki kotor, dia membawa budak-budak itu ke dapur dan membasuh kaki mereka. Begitulah ibuku.
Badanku terasa cukup penat dan panas-limas. Aku membuka semua tingkap yang ada, ada dua, kerana berkehendakkan angin masuk meniup tubuhku. Tetapi tidak ada angin bertiup. Aku pun baringlah sambil mengipas badanku dengan sebuah buku nipis.
"Itulah kerja engkau Brahim. Baring saja. Bukan engkau tak diberitahu, baring lepas makan tu tak baik. Kata orang tua-tua menendang pinggan nasi. Kalau nak baring nantilah nasi tetap dalam perut tu. Jangan tidur, aku ada kerja nak suruh. Kayu api yang aku kerat dalam kebun getah tu belum lagi berangkut. Kejap lagi kita pergi angkut," kata ibuku melarang aku baring dan tidur.
"Saya baring aje mak. Letihlah, dan mengantuk," aku berkata kepada ibu. "Kalau mak nak pergi, geraklah saya, ya mak," aku menyambung pula. Dengan perkataan itu ibuku tidak berkata apa-apa. Agaknya dia percaya kepadaku. Diapun selalu begitu, kalau balik dari bandar, dua tiga hari berlingkar di tempat tidurnya. Katanya letih, lenguh dan demamlah, kerana terlampau jauh berjalan di bandar tak berhenti-henti seharian itu.
Aku pun baring menelentang di atas katil, sambil mata terkelip-kelip memandang atap. Di masa itulah terbayang semula telatah orang-orang bergaduh di hotel dan kelakuan orang-orang yang separuh bogel, seorang lelaki dan seorang perempuan. Kisah Bakar meminta wang daripada aku, dan tidak ada balik bersama aku seperti katanya mula hendak mendapatkan wang daripada aku itu pun terkenang juga. Kisah Razak dan Hindun yang keduanya selalu suka mengerling satu sama lain dan senyum-senyum simpul; kisah-kisah di panggung wayang dan segala kisah-kisah yang aku lihat di bandar selama semalam dan sehari itu, semuanya dapat aku bayangkan. Ada di antara kisah-kisah itu menyukakan aku dan tak kurang juga yang membosankan atau menjijikkan. Tak dapatlah aku pastikan satu persatunya yang mana satu aku benci dan yang mana pula yang aku suka.
Begitulah aku, semenjak berhenti dari sekolah di bandar, duduk di kampung tanpa satu kerja yang khas, dan sekali-sekala berkunjung ke bandar semalam dua menghabiskan masa. Memang sudah menjadi tujuanku hendak bekerja di bandar, di pejabat kerajaan sebagai seorang pegawai, tetapi entah bila masanya akan tiba. Banyak juga aku hantar permintaan bagi beberapa jawatan yang sesuai dengan pengetahuanku, tetapi belum ada yang aku terima jawapannya. Entah bila lagi, entah-lah. Aku masih mengharapkannya.
Ya, begitulah aku. Kini duduk di kampung dan bila ber¬kunjung ke bandar, baliknya duit satu sen pun tidak ada lagi dalam poket. Mungkinkah aku akan selamanya begini? Entah, siapa pun tidak dapat menjawabnya. Nantilah satu masa lain pula kalau keadaan itu akan berubah, dan digantikan dengan satu keadaan yang lebih elok dan menguntungkan. Nantilah, dan nanti masanya.
Klik Untuk Baca Bab 2 Bahagian 1